Ijab dan Kabul

Friday, 31 December 2010

Epal “Mana Lagi” Ba'Kelalan

Epal “Mana Lagi”

Memiliki keistimewaan tersendiri merupakan faktor Ba’ Kelalan menjadi tumpuan pengunjung dari dalam mahupun luar negara. Pokok-pokok epal yang tumbuh subur di bumi Ba’ Kelalan ini dimiliki oleh Tagal Paran atau lebih dikenali sebagai Pak Tagal. Iklim Ba’ Kelalan yang bersuhu sejuk amat sesuai untuk pokok-pokok epal  tumbuh subur walaupun sebelum ini  ramainya yang menyangka usaha beliau sebagai sesuatu yang mustahil.  

Ladang epal Pak Tagal yang terletak di tanah tinggi di hujung Landasan Kapal Terbang Be’Kelalan sering menerima kunjungan pelawat luar semata-mata untuk merasai sendiri epal di Malaysia di samping menikmati keindahan alam semula jadi yang menjadi asas pelancongan di Ba’ Kelalan.

Epal Rome BeautyMana LagiAnna dan Ganny Smith merupakan empat jenis epal yang ditanam di ladang Pak Tagal yang seluas kira-kira 10 hektar serta ditanam dengan 2,000 batang pokok. Epal Mana Lagi berasal dari Batu Malang, Indonesia mempunyai warna kuning kehijauan serta berbau harum jika sudah cukup tua. Nama Mana Lagi dipadankan dengan dialog antara pembeli dan pekebun di Kalimantan kerana buah epal itu sangat disukai. Biasanya pembeli akan bertanya “mana lagi, mana lagi” sedangkan buah epal jenis itu amat terhad. Lama-kelamaan epal itu diberikan nama atau dikenali sebagai epal Mana Lagi.

Manakala epal Rome Beauty sesuai dibuat pai atau bahan masakan kerana kualitinya agak kurang baik untuk dipasarkan secara mentah.  Sekitar Mac dan Jun setiap tahun, merupakan musim menuai buah epal di sini.  Buah-buah epal dipetik dan dipasarkan ke Lawas, Limbang, Miri, Kuching dan Kota Kinabalu selain dua daerah berdekatan Ba’ Kelalan sendiri. Namun, permintaan epal Ba’Kelalan tidak dapat mengatasi pengeluaran disebabkan  pelbagai faktor kesukaran seperti pengangkutan dan juga penghantaran hasil. Epal yang sudah dipetik perlu dipasarkan segera kerana ia mudah rosak dengan kulitnya akan menjadi lebam.

Setiap tahun, di penghujung bulan Mac, Pesta Epal merupakan salah satu atur cara dalam kalendar Pelancongan Sarawak, diadakan untuk memberi peluang kepada pengunjung menikmati epal di ladang Pak Tagal.  Pada satu-satu musim epal Pak Tagal mengeluarkan kira-kira 1,000 kilogram  buah dan dijual pada harga ladang kira-kira  RM10.00 sekilogram. Sebatang pokok epal  di Ba’ Kelalan boleh mengeluarkan kira-kira 300 biji buah. 

Masa menanam epal sangat penting bagi menentukan ia mengeluarkan buah serentak pada musim menuai. Pokok epal juga sangat terpengaruh kepada suhu dan cuaca termasuk jumlah hujan dan juga cahaya matahari. Hujan yang berlebihan akan menyebabkan pokok kekurangan buah tetapi jika kurang hujan, dahan pokok dapat dipangkas dan tentunya akan mengeluarkan lebih banyak buah.
(Dipetik dari Lawan Web Komuniti Desa Kementerian berkaitan mengenai Ba'kelalan dan diubahsuai oleh saya)

No comments:

Post a Comment